aku anak merdeka

aku anak merdeka

Merdeka 52

Merdeka 52

AWAS ! HAL REMEH TEMEH MEROSAKKAN HIDUP 11:15 PM



Di sebuah kampung terdapat sebuah pokok yang umurnya melebihi umur kampung tersebut. Semasa kampung tersebut di buka, pokok itu telah wujud dan penduduk menngambil keputusan untuk membiarkan sahaja sehinggakan ia menjadi semakin membesar .
Sejak kewujudannya sehingga kini, pokok tersebut tetap berdiri teguh dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan musnah walaupun seringkali di panah petir dan dilanda banjir besar beberapakali.

Sehinggalah pada suatu hari secara tiba-tiba pokok itu gegur ke bumi dengan sendirinya tanpa disebabkan punca-punca yang besar. Penduduk tertanya-tanya mengapakah pokok itu boleh tumbang, sedangkan selama ini bermacam bencana yang menimpanya, tetapi ia tetap berdiri teguh dengan penuh bangga. Setelah disiasat oleh beberapa orang penduduk, mereka mendapati pokok itu tumbang kerana disebabkan oleh sejenis serangga yang disebut kumbang yang telah memakan pokok tersebut secara perlahan-lahan sejak sekian lama tanpa disedari oleh penduduk di situ. Kumbang-kumbang itu telah memakan bahagian pokok itu yang selama ini dibaluti oleh kulitnya yang keras itu. Akhirnya, dalam masa yang singkat, pokok tersebut telah tumbang, tersembam ke bumi hanya kerana disebabkan kumbang-kumbang yang kecil saiznya.

Dalam sebuah hadis yang mahsyur, Rasulullah bersabda yang bermaksud :
"Jauhilah dosa-dosa kecil kerana jika ia telah bertompok-tompok pada seseorang maka ia akan merosakkan orang itu "

Seorang hakim di Chicago bernama Dan Joseph Sabeth yang pernah menjadi penasihat perkahwinan telah berjaya membantu 40000 pasangan yang tidak bahagia mengatakan sebahagian besar ketidakbahagiaan dalam perkahwinan disebabkan oleh hal yang remeh-temeh atau perkara-perkara kecil.

Manakalah Frank S. Hogan, seorang penguasa daerah di New York Country mengatakan sebahagian kes-kes yang telah dilaporkan ke jabatannya berkaitan hal-hal yang kecil saja seperti pertengkaran antara anggota keluarga, atau kerana disebabkan selisih faham sehingga menyebabkan saling menghina antara satu sama lain, atau kerana tersinggung, atau kerana terkesan disebabkan isyarat-isyarat badan. Dan perkara-perkara kecil seperti di atas tadilah telah membawa kepada beberapa kes besar seperti pergaduhan dan pembunuhan.

Di negara kita sendiri apa kurangnya. Sama seperti di Barat yang mana saban hari di dada-dada akhbar dan seperti yang dilaporkan dalam berita di televisyen tentang pergaduhan dan pembunuhan yang hanya bermula dengan hal yang kecil dan kadangkala tidak masuk dek akal. Misalannya, bergaduh sehingga berbunuhan kerana masalah perselisihan pendapat. Bila mula berbeza pendapat, masing-masing mula menghina antara satu sama lain, dan akhirnya menyebabkan kepada pergaduhan yang penamatnya menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban. Ini bukan cerita dongeng, tetapi inilah realiti yang sedang melanda masyarakat di negara kita.

Mari kita fikirkan bersama, mengapa semua ini berlaku. Dari hal-hal yang kecil dan remeh-temeh, akhirnya ia menjadi masalah besar dan membinasakan. Jawapannya mudah sahaja, ini semua berlaku kerana kita sering memperbesarkan hal-hal yang kecil sehingga menjadi besar dan seterusnya memusnahkan diri kita sendiri.

Contoh-contoh di atas menunjukkan kepada kita betapa hal yang kecil dan temeh-temeh telah menyebabkan banyak perkara besar telah berlaku. Hal-hal kecil dan remeh temeh ini perlulah kita tangani dengan berkesan agar ia tidak menguasai diri kita.

Misalnya dalam rumahtangga, pasangan suami isteri haruslah pandai menilai sesuatu isu yang berlaku dalam rumahtangga mereka. Jangan biarkan hal-hal yang remeh temeh membelenggu kerukunan rumahtangga mereka. Misalnya seorang suami merasa sakit hati kerana isterinya suka tidur berdengkur. Hampir setiap malam tidurnya terganggu kerana bunyi-bunyian yang keluar dari rongga mulut dan hidung isterinya. Dalam hal ini, sebelum situasi menjadi semakin rumit disebabkan hal yang begitu remeh, si suami perlulah menilai hadis ini yang berbunyi :

"Janganlah seorang suami mukmin membenci isterinya yang mukminah, jika ia tidak menyukai salah satu sifat isterinya, tentu ada satu sifat lain yang akan menyenangkannya" ( Muslim ).

Ya, si suami jangan biarkan satu sifat yang buruk pada pandangannya itu untuk menafikan lain-lain sifat yang baik pada diri si isteri. Bertenang sekejap, fikirkan secara perlahan-lahan apakah kebaik-kebaikkan si isteri padanya. Masakan tiada bukan. Pasti ada dan jangan menafikannya. Jangan biarkan ego seorang suami menguasai diri anda. Dari sepuluh sifat si isteri misalnya, masakan tiada satupun yang baik pada pandangan mata anda. Dia basuh pakaian anda, masakkan makanan yang lazat-lazat untuk anda, mengemas rumah setiap hari walaupun penat bekerja dan bermacam-macam lagi yang lakukan si dia untuk anda.

Kenapa hanya satu masalah yang kecil, menyebabkan mata anda tertutup untuk melihat perkara yang lebih besar. Fikirkanlah bagaimana Saidina Umar menilai pengorbanan isterinya dengan mendiamkan dirinya ketika dia dibebeli isterinya.

Lemahkah Umar? Tidak, dia pahlawan hebat, bukan sahaja manusia yang takutkannya, malah syaitan juga melarikan diri bila bertembung dengannya. Dia juga sahabat Nabi yang yang mulia dan dijamin syurga. Tetapi mengapa dia bertindak begitu? Tidak lain tidak bukan kerana dia menghargai isterinya dan menerima kelemahan yang ada pada isterinya. Pada suami di luar sana, anda bagaimana? Fikir-fikirkanlah.

Apa jalan penyelesaiannya? Mudah sahaja jalannya, bersihkan jiwa dan bukalah minda kita dengan seluas-luasnya agar kita dapat melihat sesuatu isu dan perkara itu dengan lebih tenang, matang dan menurut pandangan akal yang berlandaskan Islam dan sunnah Nabi. Jangan biarkan fikiran kita terus dikuasai hal-hal yang remeh-temeh sehingga menjadikan minda kita tertutup rapat dan sentiasa menilai sesuatu perkara dan isu itu dengan nilaian yang negatif yang hanya bersandarkan kepada tanggapan semata-mata dan nafsu yang sering memandu kita ke arah kejahatan yang akhirnya akan membinasakan diri kita sendiri. Ingat, syaitan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak adam kerana itu janjinya hingga kiamat kelak. Akhir bicara, bersabarlah dengan setiap apa yang telah Tuhan tentukan buat kita. Nasib anda beradadi tangan anda sendiri.

Hanya anda yang mampu mengubahnya dengan izin Allah.

Jangan Terlalu Mencari Kesempurnaan 11:13 PM

Jika kamu memancing ikan....
Setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil ikan itu....

Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia
semula ke dalam air begitu saja....
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya
ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga ........

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN
kepada seseorang...
Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya....
Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja....

Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu. ...

Jika kamu menadah air biarlah berpada,
jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh....
cukuplah sekadar KEPERLUANmu. ..
Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.... Akhirnya ia dibuang....

Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi....
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang,
TERIMALAH seadanya....
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu ISTIMEWA....

Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. ...
akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi...
yang kamu pasti baik untuk dirimu.
Mengenyangkan. Berkhasiat.
Mengapa kamu berlengah,
cuba mencari makanan yang lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan.
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan MENYESAL.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan.....yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.

MENYAYANGIMU. .. MENGASIHIMU. ..
Mengapa kamu berlengah,
cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN.
Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain..
Kamu juga yang akan MENYESAL...

Amalan Berhutang 11:11 PM

Amalan berhutang di zaman ini sudah menjadi persoalan biasa di kalangan masyarakat Islam. Sama ada ia atas nama pembiayaan peribadi, pelajaran, kereta, pemilikan kad kredit dan pelbagai skim ditawarkan syarikat perbankan, rata-rata ia memberi maksud hutang. Namun harus disedari hutang dapat membawa kesan yang buruk bukan sahaja di dunia malah lebih besar lagi di akhirat kelak.

Secara dasarnya Islam membolehkan kepada seseorang untuk berhutang atas faktor yang memaksa seperti masalah kesempitan hidup. Namun begitu, perlu diperjelaskan di sini bahawa bebanan bakal diterima si penghutang adalah berat, terutama jika hutang tidak dibayar. Lebih berat jika dia meninggal dunia dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.

Rasulullah ada memberi kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.

Rasulullah turut memberi ingatan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia, sedangkan dia masih berhutang, dosanya tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.

USAHA MEMBAYAR HUTANG

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari - 41/585)

Firman-Nya yang bermaksud :

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah ayat 2)

Ia diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah bermaksud:

“Barang siapa melapangkan dari orang mukmin kedukaan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan pada hari kiamat, dan barang siapa memudahkan atas orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam urusan dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim - 032/6250)

Ketika menjelaskan hadis ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Hadis 40 menyebut secara jelas satu contoh menarik iaitu mengenai adab berhutang. Beliau menyebut kemudahan kepada orang yang susah atau yang sempit jika dalam urusan hutang ialah memberi tempoh sewajarnya untuk pembayaran hutang selepas orang yang berhutang itu tidak berkemampuan membayarnya, malah lebih mulia lagi jika hutang itu digugurkan atau diberi beberapa kemudahan lain untuk menjelaskan hutang itu

4 peringkat dosa 10:59 PM

Dosa Peringkat Pertama

Seseorang membuat dosa serta lambat menyesali perbuatannya atau pun lambat bertaubat atas dosanya. Ini adalah peringkat awal bagi orang yang membuat dosa. Jika seseorang itu berterusan membuat dosa pada peringkat pertama ini, maka ia akan secara automatik akan naik kedosa peringkat kedua.

Dosa Peringkat Kedua

Seseorang itu akan membuat dosa dan tidak merasai apa-apa diatas perbuatannya. Peringkat ini amat bahaya kerana ianya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh menggugurkan iman seseorang.

Dosa Peringkat Ketiga

Seseorang itu membuat dosa dan merasa bangga dengan perbuatan dosanya.
Peringkat ini akan sampai kepada suatu situasi dimana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak Ucapannya juga akan membawa kepada unsur MURTAD. Contohnya ucapan, "Aku minum arak ni biasa ajee..setakat sebotol tak mabuk lagi. "Selepas peringkat ini seseorang itu akan sampai ke peringkat keempat.

Dosa Peringkat Keempat

Seseorang itu akan membuat dosa, bangga dengan perbuatannya dan mula MEMANDANG HINA ATAS KEBAIKAN ATAU KEBAJIKAN. Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong, bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri.

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berkira-kira tentang perbuatan kita setiap hari dan cepat-cepat bertaubat atas kesilapan atau perbuatan kita yang berdosa dan masuklah kita di kalangan orang-orang yang bertaqwa disisi Allah.

Seseorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah, "Wahai Rasulullah akan adakah orang yang menyeru kearah kejahatan dan dosa setelah datangnya islam yang lengkap ini." Rasullullah menjawab," Ia, memang akan ada pendakwah neraka di akhir zaman setelah datang islam yang lengkap." Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku
bertemu zaman itu dan pendakwah neraka tersebut". Rasulullah menjawab,"Hendaklah kamu cari ulama-ulama benar (ulama pewaris nabi) dan berpeganglah kamu kepadanya dan jangan sekali kali kamu lepas darinya."

"Wahai orang-orang yang beriman!Jika datang kepada kamu sesuatu berita,maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu ( mengenainya ) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).